ZURICH – Ada pemandangan agak luar biasa di Hallwylerstrasse di sini, sebuah kawasan yang padat dengan pelbagai bangunan pentadbiran Switzerland jika diteliti akhir-akhir ini.
Di hadapan restoran Asia Tisch, tampak sebuah gerai beroda tiga dikerumuni ramai orang. Asap tebal mengepul tidak dipedulikan pelanggan yang mengenakan baju tebal sanggup sabar beratur menunggu giliran.
Angin dingin bertiup dari tasik Zurich juga tidak menghalang semangat mereka yang berkerumun. Setelah diamati, memang ada yang istimewa di depan restoran terkenal menyajikan menu bakso, rendang dan soto ayam itu. Sebuah gerai kecil yang tiada kerusi menjadi seumpama pentas proses pembakaran sate ayam. Jangan terkejut ia memang sate ayam yang sedang dipamerkan oleh penjajanya di salah sebuah kota paling mahal dunia itu.
Inilah satu-satunya gerai sate ayam di Zurich, bahkan Switzerland. Semua keunikan itu diusahakan Rio Vamory, bekas pekerja bank yang membawa hidangan Indonesia di Zurich atau digelar Little Big City of Switzerland.
“Kebanyakan sate ayam hanya dijual di dalam restoran atau kafe yang terkenal. Saya pernah cuba menjualnya seperti di Indonesia tetapi kos agak mahal,” kata Rio dipetik akhbar berpengaruh Indonesia, KOMPAS.
Ini bermakna jika musim sejuk tiba, Rio tidak mungkin menjual makanannya itu di kawasan terbuka. Justeru Rio ‘meminjam’ pekarangan Asia Tisch sebagai tapak promosi awal untuk memperkenalkan sate dijualnya itu.
“Belum begitu terfikirkan. Ini masih lagi perintis, kerana saya berhasrat mulai Mei ini saya berjualan pertama kali di Zurich,“ katanya. Selepas ini dia akan cuba jual sendiri di sebuah taman di sini dengan gerai beroda tiga itu.
Apa yang dilakukan Rio ini dilihat seperti nekad, namun dia enggan disebut sedemikian. Ini kerana rancangan itu sudah diimpikannya bertahun-tahun lalu, ketika Rio masih lagi sibuk bekerja di sebuah bank terkenal di Zurich.
“Kalau nekad ya, tidak mungkin, saya sudah merencanakan perkara ini serius sejak lama, prosesnya bertahun-tahun, Secara kebetulan saya tidak bahagia (senang) bekerja di dalam bank tersebut,” akui Rio secara jujur.
Akibat tidak gembira bertugas di bank, maka cita-citanya menjual sate ayam, terus mengganggu hatinya. Maka, setahun lalu Rio memutuskan berhenti bekerja sekali gus enggan lagi memakai kot pejabat dan tali leher.
Rambutnya yang dahulunya disisir rapi, kini dibiarkan bebas, sengaja tidak digunting selama setengah tahun terakhir. Kini apron, baju-T dan seluar jean menjadi pakaian seragam Rio mengipas bakar sejumlah sate.
Sesekali tampak dia memang bimbang dengan hasil pemanggangan satenya yang mungkin tidak dibakar sempurna bahkan secara berterus terang Rio menjelaskan: “Agak gugup iya, ini kan baru peringkat percubaan.”
Selain membakar sate, dia juga selain ingin mempromosikan gerai bergerak dan segala peralatannya malahan turut mengundang masyarakat Switzerland untuk membantu dengan memberi sumbangan ke atas projek sate ayamnya.
Semua ini dilakukan Rio sendiri menerusi kaedah crowd funding yang cukup popular di Barat dengan individu yang memerlukan dana lazimnya menghebahkan idea mereka untuk kemudian dilabur oleh orang ramai atau netizen.
Satu rakaman video dimuat naik Rio menerusi Internet yang menjelaskan mengenai projek sate tersebut, sekali gus mengharapkan masyarakat terutama pengguna media sosial antarabangsa untuk menyumbang dana pelaburan.
“Tidak hanya itu, crowd funding ini juga sebenarnya untuk uji pasaran, apakah ada berminat atau tidak,“ tutur Rio. Ini kerana ada juga projek dihebahkan melalui Internet gagal dapat tajaan dan terbengkalai kerana tidak diyakini.
Syukurlah, sasaran modal yang hanya sebanyak 12,000 frank Swiss (kira-kira RM52,000) akhirnya tercapai melalui cara tersebut dan dia malahan berkata: “Saya gunakan dana kecil ini untuk beli gerai beroda dan keperluan lain.”
Di Switzerland, siapa yang berani terjun dalam bisnes gastronomi, memang kena bekerja keras. Harga makanan di restoran Swiss yang sangat mahal, membuatkan persaingan untuk menyajikan kualiti terbaik, menjadi kewajiban.
Rio tampaknya memang sedar dengan kenyataan tersebut. Sebelum mencuba sate ayam dengan gerai bergerak atau disebut gerobak dalam bahasa Indonesia, dia sudah membuat eksperimen dengan ‘jual’ satenya dari pintu ke pintu.
Kisah hidup Rio kemudian mendapat perhatian daripada akhbar paling berprestij di Switzerland iaitu Neuer Zurcher Zeitung (NZZ), yang kemudian memberi satu halaman penuh menceritakan aksi Rio itu kerana dianggap unik.
“Ini memang istimewa, jadi kami tertarik menulisnya,“ kata salah seorang editor NZZ. Selain mengisahkan proses peralihan Rio daripada pekerja bank menjadi tukang sate, dia juga mengisahkan perjalanan hidupnya sendiri.
Sate dijual Rio, menurut NZZ, cukup menarik dan dalam satu ulasan makanan, menerusi akhbar itu menyatakan bahawa makanan tradisional masyarakat Jawa itu: “Kalau pun ada yang perlu diperbaiki, ya acar timunnya.”
Rio lahir 34 tahun lalu, di Balingkah, Padang Panjang, Wilayah Sumatera Barat. Tidak lama setelah dilahirkan, Rosmidar, ibu kandungnya, terpaksa menerima kenyataan apabila kemudian ditinggalkan sang suami tercinta.
Perjalanan berikutnya, Rosmidar meninggalkan Indonesia dan berkahwin dengan seorang rakyat Switzerland yang berketurunan Tibet. Ketika itu, Rio dihantarkan ke Bogor untuk mempelajari ilmu agama di sebuah pesantren.
Rosmidar menetap dan berkahwin lagi di Zurich. Namun, kebahagiaan itu tidak lengkap jika berpisah dengan puteranya itu. Setelah dua tahun menetap di Switzerland, Rio kemudian dibawa ibunya bersama-sama ke Zurich.
Prestasi Rio ketika bersekolah cukup menonjol bahkan beberapa kali ‘lompat’ kelas kerana kecerdasannya sehingga mampu membina kerjaya di pelbagai bank besar, namun meskipun bergaji agak besar, Rio tidak berasa gembira.
Dia pun akhirnya memilih untuk meninggalkan karier perbankan yang cemerlang dan memilih menjadi tukang sate ayam secara jalanan di Zurich. Rosmidar, sebagai ibu kandungnya, sangat menyokong langkah ‘aneh’ Rio itu.
“Apa yang dilakukan Rio amat luar biasa. Tidak ramai dan hampir tiada pekerja bank yang hebat sanggup berubah profesyen dengan menjadi tukang sate ayam, keberanian itu namun ada dalam diri Rio,” kata editor NZZ.
Manakala Rosmidar ketika ditanya oleh NZZ hanya berkata: “Sebagai orang tua, saya tetap mendukung segala rancangannya. Lagi pula, dia sejak kecil saya mendapati Rio memang jenis orang yang suka masak di dapur.”
Selain cuba menjadi pengusaha sate, Rio juga berhasrat membantu tanah kelahirannya di Sumatera dengan cara setiap satu frank Swiss daripada jualan secucuk sate yang dijualnya untuk membantu pelestarian alam Sumatera.
Meskipun kini dilihat lebih berbudaya Switzerland berbanding Indonesia, Rio agaknya masih terus mengingat tanah kelahirannya dan secara jujur memberitahu: “Lupa tentu tidak, saya juga mempunyai ramai saudara di sana.”
Puluhan tahun silam, Rio bahkan dapat bertemu dengan beberapa saudara tirinya yang menetap di sekitar Sumatera waima masih lagi tetap berkomunikasi dengan mereka sehingga sekarang bagi mengubat perasaan kerinduan.
Dia juga sempat cuba mencari bapa kandungnya ketika balik seketika ke Indonesia dan mujur pernah bertemu sendiri dengan lelaki tersebut di Jakarta. Namun selepas itu, kini dia dilaporkan tidak lagi berhubungan.
“Rasanya lega ketemu bapa saya. Tapi setelah itu ya sudah, tak banyak hubungi lagi dengan bapa saya. Dengan bapa saya tidak lagi, dengan saudara tiri, iya, masih berkomunikasi,” katanya
Sumber: MYNEWSHUB
loading...
0 Response to "(Video) Bosan Kerja Bank, Lelaki Ini Jual Sate Di Switzerland Berjaya Membuahkan Pendapatan Yang Lumayan.."
Post a Comment