facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close
loading...

Ke hadapan MEE BESEN ORIGINAL MELAKA-awak telah menipu dan mengecewakan 17 manusia dan muslim berpuasa




"WARKAH UNTUKMU"- BY ADZREN ADNAN

Ke hadapan MEE BESEN ORIGINAL MELAKA yang dikasihi,

Semasa saya sedang mengkeletak keletukkan jari jemari di atas papan kekunci komputer ini, saya berada dalam keadaan sihat walafiat. Saya berharap Mee Besen begitu juga hendaknya. Tujuan sebenar saya melayangkan warkah digital ini kepada Mee Besen adalah untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati setelah rombongan kami ditolak mentah-mentah tanpa sebarang penyelesaian yang munasabah pada tanggal 6 Jun 2017 tepat jam 7.17 minit malam, kurang 2 minit sebelum masuknya waktu berbuka negeri Melaka. Sesungguhnya pada hari ke 11 Ramadhan tahun 2017 ini akan menjadi sebuah memori paling bermakna dalam hidup saya mengenali awak, Mee Besen.

Tidak pernah terlintas untuk bertemu dengan dirimu wahai Mee Besen, tidak pernah sekali, namun atas pelawaan anak-anak didik saya yang saya sayangi, yang mengidamkan kelazatan masakan tular awak di merata media sosial, membuatkan saya rasa terpujuk dek kerana pelawaan itu. Segala tempahan telah dibuat. Sebagai seorang pendidik, saya masih mengambil berat tentang tempahan walaupun ia telah dibuat oleh anak didik saya. Tempahan melalui whatsapp telahpun dibuat, tapi sayang Mee Besen, awak gagal berkomunikasi dengan baik melalui whatsapp. Saya terkilan, awak menjanjikan servis terbaik dan membolehkan tempahan dibuat melalui whatsapp, apabila pelajar saya telefon awak, awak jawab dengan kasar. Saya sedih sangat wahai Mee Besen. Awak kata “Jangan call… Whatsapp! Whatsapp!”. Pelajar saya akur, segera whatsapp meneruskan tempahan. Betapa cekalnya mental pelajar saya. Sudahlah cantik, sabar pula. Mujur bukan saya yang uruskan, disergah begitu, dari Mee Besen bertukar Kueh Tiow Periuk saya kerjakan.

Pelajar saya mula whatsapp tentang tempahan. Kami sekumpulan 18 orang rakyat biasa yang mahu datang berbuka puasa, sudahlah disergah jangan telefon, disuruh whatsapp sahaja, whatsapp pun jarang-jarang dibalasnya. Di miscall di whatsapp, sepatah dua sahaja jawabnya. Pelajar saya masih bersabar, ikut saya, dah cari tempat lain.

Tapi mereka teringin. Mengidam katanya. Kasihan, saya ikutkan, bulan Ramadhan, takut kempunan. Maka berurusanlah mereka dengan awak Mee Besen, dengan penuh kesabaran. Maklumat semua telah diberi seperti yang diminta, nama, bilangan pakej dan sebagainya. Diberitahu kemudian, pakej yang dipilih pakej lama, pilihlah pakej baru. Sudah dipilih, selesai kesemuanya. Komunikasi dua hala melalui whatsapp umpama mengisi dan menandatangani borang pembelian rumah pertama PRIMA telah pun selesai dengan jayanya.

Bezanya tidak perlu peguam dan orang hartanah. Rumitnya harap berbaloi dengan kelazatan awak wahai Mee Besen. Menanti detik jam demi jam untuk kami berkumpul dan meratah bersama kelazatan awak Mee Besen.

Kami tiba di lokasi awak lebih kurang jam 6.50 petang. Bergerak secara rombongan meminang dengan hati yang berkobar-kobar. Berbunga-bunga umpama mahu mendapat laba. Sampai di hadapan kedai awak, kami cari pekerja untuk bertanya, dari seorang di pass ke pekerja lagi seorang.

Kami mula pelik, adakah kami berbau busuk dan jelik, ramai sungguh yang tak mahu layan kami, walhal kami pelanggan yang hanya datang mahu bertanya mana satu meja kami.
Seorang pekerja mula respon “Abang, ni kawan abang ni tempah tak confirmkan dengan kami, lepas tu lambat jawab dia call-call”.

Adik, janganlah menipu, kan bulan puasa, baik adik berbuka je dari pagi tadi kalau ada niat nak menipu 5 minit sebelum berbuka dik. Pelajar saya tempah depan saya, dah confirmkan, awak yang tak catat. Kemudian tanpa apa-apa penyelesaian, dia beredar dan buat kerja lain. Kami terpinga-pinga. 7.12 minit malam ketika itu.

Datang seorang lagi perempuan memegang kitab ajaib penyuluh jalan ke syurga yang menulis seluruh senarai nama penempah-penempah meja yang ulung lagi agung. Nama kami tiada, alasannya “Oh, ingatkan tempahan tadi tu untuk berbuka esok, maaflah meja memang full…” Mudahnya jawapan, tanpa penyelesaian, pemegang buku ajaib beredar. 7.17, seorang lagi pekerja datang “Bang, tengok ni” sambil scroll whatsapp pelajar saya, “Oh dah adalah tempahan. Alamak macam mana ye.”

Dia rasa bersalah tapi tetap cuba cari kesalahan kami yang lain. “Ha, tengok ni bang, 18 orang. Kurang-kurang tiga meja ni bang. Tak muat ni. Maaflah bang ye. Kalau nak juga, kena tunggu pukul 8 lebih macam tu lah.” Paling menyedihkan, itu adalah bidasan awak yang paling hebat ke? Awak memilih untuk beritahu tentang kapasiti 18 orang tu tak muat 2 minit sebelum berbuka? Bila call awak marah suruh whatsapp, bila whatsapp awak tak beritahu apa-apa kenapa? Call whatsapp berkali-kali baru jawab sepatah dua.

Lain kali kan wak, kalau tak mampu handle tempahan melalui whatsapp, jangan sesekali buat. Bulan puasa ni, tak elok buat orang macam ni. Ini bukan caranya kalau nak dapat pahala kering. Bulan puasa, kami tak nak maki-maki, tapi kami cuma manusia biasa bukan nabi, sedikit mesti terdetik perkataan tak elok untuk apa yang awak buat pada kami tempoh hari, dan kalau itu awak kata pahala kering untuk awak, maka terima kasih atas pahala kering yang awak beri pada kami sebab awak menipu janji.

Bergelandangan anak didik saya duduk di kaki lima depan kedai runcit sederet awak Mee Besen, beli roti dan air mengalas perut dek kerana kecewa dan pasrah diperlakukan begitu. Itulah bak kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Selepas ini, beli makanan ringan untuk alas perut sekiranya musibah seperti ini bakal berulang lagi.

Wahai Mee Besen yang dikasihi, rupanya ini kali kedua pelajar saya terkena dengan anda. Juga sebab yang sama. Ditipu melalui tempahan. Saya kira betullah jalan yang saya pilih pada mula dan awal dahulu, tidak mahu menjejakkan kaki ke kedai awak walau macam mana hebat pun awak tular di media sosial.

Kasihan, baru tular di media sosial sekitar Malaysia awak sudah tidak menang tangan nak uruskan pelanggan, kalau tular seantero dunia, saya kira mungkin awak akan lebih besar kepala bikin pelanggan seperti hamba. Inilah kali pertama dan terakhir saya dan anak-anak didik saya menjejakkan kaki ke kedai awak wahai Mee Besen.

Terima kasih di atas pengalaman yang cukup berharga ini. Akan saya kenang sampai akhir hayat. Semoga terus maju dalam perniagaan dan inshaAllah jika diizinkan, walau nama Mee Besen bertukar kepada Mee Jamban sekalipun, tular hingga ke mantel bumi pun, tidak akan jejakkan kaki ke sana lagi. Cukuplah sekali, bak kata orang tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Cuma satu perkara, awak telah menipu dan mengecewakan 17 manusia dan muslim berpuasa yang teringin dan cukup mengidam mahu merasai nikmat dan kelazatan awak Mee Besen dan akhirnya mereka kempunan di hari ke 11 Ramadhan tahun 2017.
Pecah kaca pecah gelas,

Sudah baca tak payah balas.

Semoga kita tidak berjumpa lagi, sekian terima kasih.
Yang Benar,

Guru yang kasihan melihat anak didiknya kempunan.


Sumber: http://terlajakover.blogspot.my
loading...

0 Response to "Ke hadapan MEE BESEN ORIGINAL MELAKA-awak telah menipu dan mengecewakan 17 manusia dan muslim berpuasa"

Post a Comment

loading...